Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata Estino, 24, mendarat di Pantai Sandy, Calaif, Perancis selepas memulakan renangan dari Pantai Dover di United Kingdom pada 8.41 pagi ini (Jumaat).
Estino yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Semporna, Sabah menamatkan renangan dalam masa 13 jam 45 minit dan 45 saat.
Akmar berkata, Estino merupakan perenang kedua dari Malaysia yang berjaya menakluk Selat Inggeris bagi kategori tanpa sangkar selepas Lennard Lee pada tahun 2004.
Manakala, pasukan renang bagi kategori erganti-ganti pula berjaya menamatkan misi merentas Selat Inggeris pada pukul 4 petang Khamis dalam masa 14 jam 30 minit.
Pasukan seramai enam orang itu terdiri daripada Mohd Roslan Mohd Zawawi yang mengetuai renangan, Mohd Khairul Faizal Mazli, Mohd Salleh Mahmor, Buranurdin Sali, Sharizal Omar dan Mohd Zulfadhli Mahamad.
"Kami bersyukur kerana akhirnya renangan ini berjaya dilakukan selepas tergendala kerana cuaca agak buruk sebelum ini.
"Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah mendoakan kejayaan misi ini," kata Akmar.
Ekspedisi itu adalah di bawah tajaan Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia dan naungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, Akmar berkata pasukan ekspedisi itu dijangka tiba di tanah air Ahad ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment