pisaukedah@gmail.com

sekiranya anda mahu berkongsi maklumat atau menyumbangkan artikel sila emailkan kepada Pisau Kedah.-Terima Kasih- pisaukedah@gmail.com

Catatan Popular

Rakan di blog

Sunday, October 7, 2012

Tok Kadiaq Putar Belit Dalam Isu PKFZ



KUALA LUMPUR 5 Okt. - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir didapati memberi kenyataan bercanggah berhubung harga tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dengan keterangannya pada perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik.

Percanggahan itu dikenal pasti oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi ketika meneliti dan membandingkan keterangan Abdul Kadir selaku saksi ketiga pihak pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan percakapan yang dirakamkan oleh pihak polis.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memohon mencabar kebolehpercayaan keterangan Abdul Kadir mengikut Seksyen 155 Akta Keterangan 1950.

Permohonan itu, menurut beliau, disebabkan Abdul Kadir dalam keterangannya semalam memberitahu mahkamah, harga RM25 sekaki persegi (skp) bagi pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) berjumlah RM1.08 bilion, bukannya harga muktamad.

Abdul Kadir juga mengatakan, jumlah itu tidak termasuk kadar faedah 7.5 peratus yang apabila dibayar akan menjadikannya melebihi dan mengatasi harga tanah sebenar.

Hakim Ahmadi: ''Selepas meneliti keterangan saksi tentang harga tanah RM1.08 bilion, tidak muktamad dan perlu dibayar faedah. Saya dapati keterangan itu bertentangan dengan percakapan saksi ini yang dirakamkan oleh polis di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

''Sehubungan itu, saya memutuskan keterangan ini adalah material dan prosiding untuk mencabar kebolehpercayaan saksi oleh pihak pendakwaan dibenarkan.''

Tun Abdul Majid kemudiannya merujuk saksi dengan rakaman percakapannya kepada Supritendan R. Rajagopal pada pukul 1.45 petang, 6 Julai tahun lalu.

Abdul Kadir yang berbaju Melayu dan berkain sampin berwarna merah jambu mendakwa tidak ingat, namun mengesahkannya berdasarkan tandatangan beliau pada dokumen tersebut.

Pada peringkat ini, peguam Chong Loong Men selaku peguam pemerhati yang dilantik oleh bekas pemimpin UMNO itu memohon mendapatkan keseluruhan rakaman percakapan anak guamnya.

Permohonan itu disokong oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili bekas Presiden MCA itu yang sedang dibicarakan atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia.

Apabila mahkamah membenarkan kebolehpercayaan saksi dicabar, menurut Kian Kheong, sewajarnya keseluruhan percakapan Abdul Kadir dibekalkan kepada pembelaan untuk membantu mahkamah memberikan keputusan yang adil.

Tun Abdul Majid bagaimanapun membantah kerana bukan amalan pihak pendakwaan berbuat demikian dan akan memberikan bahagian yang terlibat semata-mata.

Hakim Ahmadi menetapkan Isnin ini untuk mendengar hujahan peguam sama ada mereka berhak mendapatkan keseluruhan percakapan saksi atau sebaliknya.

Tun Abdul Majid selepas itu turut memaklumkan yang pihaknya membantah permohonan peguam untuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Liong Sik, 68, dituduh menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Dia didakwa melakukan penipuan itu antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. -UM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Tekini Media Kedah


Sumber Rujukan: Tutorial Create Recent Post Blogspot | Anastasyea Blog

Pisau Kedah Blog