Semalam laungan We 1 Peace telah bergema di Taman Pertanian UPM, Serdang. Penulis menghadiri dari awal hingga akhir program. Memang menarik dan lautan manusia memenuhi Dewan A tempat lokasi perasmian dilangsungkan.
Memandangkan golongan muda adalah golongan yang paling ramai di negara kita maka suara mereka yang mahukan keamanan wajar dihormati oleh semua pihak.
Jangan sesiapa pun cuba menghasut golongan ini untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama atau undang-undang negara.
Berikut berita dan video ucapan Datuk Seri Hishammuddin Hussein :
Skuad Muda KDN bina gelombang kesukarelaan
KUALA LUMPUR 10 Jun - Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bertindak sebagai pemangkin, wadah dan pendokong usaha mewujudkan gelombang kesukarelaan di kalangan generasi muda di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penubuhan skuad berkenaan memberi ruang kepada golongan muda menyumbang kepada masyarakat dan negara menerusi penglibatan dalam program serta aktiviti berfaedah.
Menurut beliau, hasrat tersebut adalah selaras dengan perubahan yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP).
"Skuad Muda KDN memberi kebebasan sepenuhnya kepada ahli merencana dan melaksanakan aktiviti mengikut kehendak serta cita rasa mereka.
"Langkah itu sekali gus dapat mengasah bakat kepimpinan, pengurusan serta pemikiran kritis, kreatif dan inovatif di kalangan generasi muda," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Himpunan Skuad Muda KDN di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini hari ini.
Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Pengarah KDN, Datuk Abdul Rahim Mohd. Radzi.
Lebih 15,000 anggota Skuad Muda KDN yang juga sukarelawan muda pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut menghadiri perhimpunan yang dianjurkan buat julung kalinya itu.
Hishammuddin berkata, penglibatan golongan muda dalam skuad berkenaan mampu memupuk semangat patriotisme yang tinggi dan menghindarkan mereka daripada terjebak dengan gejala yang mampu meruntuhkan negara.
"Kehadiran lebih 15,000 anggota Skuad Muda KDN hari ini adalah permulaan kepada gelombang kesukarelaan yang ingin kita wujudkan di seluruh negara.
"Di peringkat KDN, kita mempunyai kira-kira 1.1 juta sukarelawan muda yang akan digerakkan dalam gelombang kesukarelaan tersebut," ujarnya.
Kata beliau, KDN juga bersedia membuka ruang kepada persatuan-persatuan yang menaungi generasi muda untuk membabitkan diri dalam skuad tersebut khususnya bagi aktiviti pencegahan jenayah, bantuan bencana alam dan khidmat masyarakat.
No comments:
Post a Comment