pisaukedah@gmail.com

sekiranya anda mahu berkongsi maklumat atau menyumbangkan artikel sila emailkan kepada Pisau Kedah.-Terima Kasih- pisaukedah@gmail.com

Catatan Popular

Rakan di blog

Monday, August 13, 2012

'Royalti minyak' api dalam sekam politik Kelantan




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat Kelantan 5 Ogos lalu dan memberi jaminan kerajaan Pusat sentiasa adil terhadap semua negeri.

“Kerajaan Pusat tidak pernah menafikan hak rakyat Kelantan, termasuk dalam isu tuntutan bayaran tunai daripada hasil petroleum,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Perdana di Bachok. 


Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad untuk mengkaji royalti minyak. 



Bagi kebanyakan rakyat Kelantan, isu royalti minyak menjadi api dalam sekam. Walaupun mereka mungkin ahli UMNO, tetapi isu royalti menjadi bahan politik yang sentiasa hangat.

Lebih malang bagi kebanyakan penceramah UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka terpaksa berdepan secara langsung dengan PAS yang mempolitikkan isu royalti minyak.

Pada hari ini apa saja laporan media perdana sukar dipertahankan. Media baru, ceramah politik dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mempunyai daerahnya sendiri di Kelantan. Isu royalti minyak diperdebat secara terbuka, hatta pada majlis berbuka puasa, mahupun selepas solat sunat Tarawih.

Kerajaan Kelantan pimpinan PAS mahukan jawatankuasa khas royalti minyak menyelesaikan tugas lebih cepat iaitu tiga bulan daripada enam bulan yang dicadangkan Najib. Mereka mencurigai tindakan Putrajaya sebagai langkah untuk BN memenangi pilihan raya umum. 


Persoal masa tubuh jawatankuasa

Ahli EXCO kerajaan negeri, Datuk Husam Musa mempersoalkan masa penubuhan jawatankuasa khas dan tempoh enam bulan yang diberikan untuk menyelesaikan kajian dan bertanya apakah ini hanya bertujuan memberikan kelegaan kepada rakyat Kelantan menjelang pilihan raya yang semakin hampir. 

Kecurigaan Kelantan terhadap Pusat ialah gambaran krisis dua hala yang tidak akan reda. PAS mentadbir Kelantan sejak 1990. Selama 22 tahun sebahagian masyarakat menganggap Kelantan dianaktirikan dan terlepas daripada projek pembangunan prasarana.

Sehingga kini Kelantan tidak mempunyai rangkaian lebuh raya selesa berbanding negeri lain. Kewujudan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) sejak 1 Januari 1991 tidak banyak menampakkan hasil.

JPPK dianggap agensi Pusat untuk menyelaraskan projek pembangunan menerusi pihak tertentu, bukan kerajaan negeri.

Masyarakat menganggap JPPK mengambil alih tugas Pejabat Kemajuan Negeri Kelantan sebagai agensi utama menyelaras dan memantau pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan.



Jalin kerjasama pada 1973

PAS pernah menyertai BN pada 1974 selepas menjalin kerjasama pada 1973. Bagaimanapun, hubungan dua hala antara PAS dan UMNO sentiasa membara. Krisis politik berlaku pada 1977 apabila berlaku percanggahan di antara Presiden PAS, Tan Sri Asri Muda dengan Menteri Besar, Datuk Muhammad Nasir.

Asri mendakwa Muhammad pro-UMNO dan menjalankan tugas mengikut telunjuk Kuala Lumpur. Ketegangan memuncak apabila demonstrasi bertukar rusuhan pada 24 September 1977 di Padang Merdeka, Kota Bharu. Rakyat membantah kumpulan pro-Asri yang dikenali ‘Kumpulan 20’. 

Muhammad digulingkan daripada jawatan Menteri Besar menerusi usul tidak percaya diketuai Datuk Ishak Lutfi Omar sebagai ketua ‘Kumpulan 20’ pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Pada 19 Oktober 1977, satu lagi demonstrasi berlaku membabitkan 20,000 rakyat yang berarak dari Padang Merdeka ke Pejabat Setiausaha Negeri. Perintah berkurung diisytiharkan pada jam 3.15 petang dan berterusan 24 jam.

Keadaan yang tidak stabil memaksa Pusat mengisytiharkan perintah darurat. 
Pentadbiran negeri digantung dan Majlis Gerakan Negeri (MAGERAN) diperkenalkan di Kelantan yang memaksa aktiviti politik dibekukan.

Niat Pusat untuk mengamankan keadaan di Kelantan dianggap sebagai rampasan kuasa. PAS tidak dapat mendekati rakyat. Pemimpin PAS dalam Kabinet Pusat pula terpaksa letak jawatan, kecuali Datuk Hasan Adli memilih untuk kekal mesra BN.

Asri membantah Akta Darurat yang dibentangkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn di Dewan Rakyat pada 19 Oktober 1977 yang mengakibatkan demokrasi digantung dan ditadbir secara ’de facto’ menerusi MAGERAN yang diisytiharkan pada 8 November 1977. -Imlan Adabi (BH)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Tekini Media Kedah


Sumber Rujukan: Tutorial Create Recent Post Blogspot | Anastasyea Blog

Pisau Kedah Blog