Masa bantahan dihapus
Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 19 Dis. - Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) akan
menghapuskan masa bantahan
selama sejam pada hari penamaan
calon pada Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) .
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz
Mohd. Yusof berkata, keadaan itu
bermakna pegawai pengurus pilihan
raya akan diberi tanggungjawab
sepenuhnya untuk menentukan
kelayakan seseorang calon untuk
bertanding dalam pilihan raya.
''Ini bermakna calon lawan tidak lagi
boleh membangkitkan soal-soal
teknikal tetapi tugas tersebut akan
dipikul sepenuhnya oleh pegawai
pengurus.
''Kalau pihak tertentu ada bukti
bahawa calon itu tidak layak bertanding dan ia tidak disedari pegawai pengurus, maka mereka
boleh bawa petisyen ke mahkamah selepas pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di sini, hari
ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
Abdul Aziz turut mengumumkan calon yang telah dinamakan tidak lagi dibenarkan menarik diri
pada saat-saat terakhir.
''Keadaan ini akan memudahkan SPR mencetak kertas undi lebih awal dan tidak perlu menunggu
selama tiga hari untuk melihat sama ada terdapat calon yang mahu menarik diri," katanya.
Beliau berkata, SPR turut membenarkan pengundi golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti
orang buta atau cacat dibantu oleh orang yang dipercayainya untuk mengundi.
''Orang yang boleh dipercayai itu bagaimanapun mesti terdiri daripada warganegara Malaysia
yang berumur 21 tahun ke atas," katanya.
SPR turut bersetuju untuk mempamerkan daftar pemilih baru selama 14 hari berbanding tujuh
hari seperti sedia ada.
''SPR juga membersihkan daftar pemilih pada setiap hari dan kami meminta parti politik supaya
tidak menghebohkan kepada media sekiranya terdapat satu atau dua kesilapan.
''Maklumkan kepada kita, SPR bersedia memperbetulkan mana-mana kesilapan yang tidak
disengajakan," kata Abdul Aziz.
Tambah beliau, pihaknya telah bersetuju untuk mengubah tempat duduk wakil calon untuk
memantau proses buang undi.
No comments:
Post a Comment