PETALING JAYA – Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi mendedahkan terdapat segelintir artis dibayar puluhan ribu ringgit oleh parti politik tertentu dalam usaha menghasut rakyat membenci kerajaan.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil,32, berkata, artis-artis berkenaan akan hadir dalam ceramah-ceramah anjuran parti politik berkenaan dan mereka akan diberi imbuhan yang nilainya melebihi jumlah bulanan ketika mereka aktif dalam dunia seni sebelum ini.
“Hasil maklumat yang kami peroleh, artis-artis yang cenderung kepada parti politik tertentu dengan menyertai ceramah-ceramah mendapat imbuhan berlipat ganda berbanding ketika mereka aktif dalam bidang seni.
“Jumlah pendapatan itu mencecah puluhan ribu ringgit sebulan bergantung kepada banyak mana program ceramah yang mereka sertai dalam masa sebulan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.
Zed diminta mengulas mengenai kecenderungan segelintir artis yang mengaku sudah berhijrah tetapi bertindak menyertai parti politik tertentu dengan menghasut rakyat membenci kerajaan.
Kata Zed, tidak ada artis yang akan melakukan kerja secara suka rela setiap masa kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap sebaliknya mereka melaksanakan sesuatu tanggungjawab itu untuk mendapat imbuhan.
Katanya, parti politik berkenaan pula terpaksa menggunakan artis kerana golongan berkenaan mempunyai pengaruh kuat dalam menarik orang ramai menghadiri ceramah yang dianjurkan.
Malah ujarnya, ada juga artis yang terpaksa berbuat demikian untuk mengalih perhatian bagi menutup kisah hitam masing-masing sebelum ini.
“Ada juga artis yang berhijrah tetapi bukannya benar-benar berhijrah sebaliknya sekadar mahu menutup kisah buruk diri yang pernah dilakukan semasa bergelar artis.
“Ia bukan langkah yang bijak sebaliknya mereka hanya dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu sebelum pilihan raya umum sahaja.
“Selepas pilihan raya, saya pasti artis-artis ini akan senyap kerana sudah tiada jemputan untuk mereka sertai ceramah,” katanya.
Ditanya benarkan golongan berkenaan tidak mendapat tempat di persada seni kerana penghijrahan yang dibuat Zed berkata, perkara itu sebenarnya tidak berlaku jika perubahan berkenaan dilakukan dengan ikhlas dan baik.
Bagaimanapun apa yang dikesalkan golongan berkenaan mengambil pendekatan memburuk-burukkan dunia seni sendiri serta menghentam pihak-pihak tertentu.
“Kalau nak berubah tu, berubahlah! Tak ada siapa yang larang tetapi mereka berubah dengan mengutuk dan menghina orang lain. Sebab itulah secara tidak langsung mereka diketepikan,” jelasnya.
Sehubungan itu Zed berkata, sekiranya terdapat mana-mana artis yang mahu berubah mereka diminta untuk tidak terlibat dalam kancah politik kerana ia akan merosakkan reputasi diri mereka sendiri.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Zed Zaidi mengundang para artis dan orang ramai menyertai Majlis Mega Raya MySeniman yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini pada 17 September depan.
Acara yang akan bermula pukul 12 tengah hari itu turut membuka peluang kepada orang ramai dan para artis menjadi ahli persatuan itu. – HMetroOnline
No comments:
Post a Comment