KUALA LUMPUR: 14 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Negeri Sembilan hari ini menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sempena tiga tahun pentadbirannya.
Sokongan penuh itu dinyatakan selepas kesemua NGO terbabit mengadakan sesi dialog tertutup dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi.
Ahmad Maslan yang bertindak sebagai pengantara antara NGO terbabit dengan pihak kerajaan berkata, dialog tertutup itu turut mengemukakan cadangan dan pandangan kepada kerajaan persekutuan bagi penambahbaikan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
"Sokongan yang diberi antaranya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, supaya kerajaan sekarang akan menang dan Datuk Seri Najib kekal sebagai perdana menteri. Kesimpulannya ia adalah sokongan politik.
"Mereka juga ada beri pandangan tertentu yang tak perlu saya sebutkan di sini, tetapi ada sebahagiannya perlu diperbaiki namun secara keseluruhannya tentulah mereka berpuas hati dengan kepimpinan Datuk Seri Najib," katanya.
Ahmad Maslan ketika ditanya pemberita mengenai cadangan pembangkang yang mahu menghapuskan pinjaman pelajaran yang ditawarkan Perbadanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, ianya hanya tidak lebih dari sekadar janji 'populis somberono' semata- mata.
"Pengumuman itu popular, tetapi semberono kerana tidak memikirkan kesan yang bakal ditanggung. Sekiranya dilaksanakan, kesan pertama ialah menggalakkan pelajar malas. Kalau hutang lupus, sudah tentulah mereka malas belajar kerana tidak perlu bayar hutang pun.
"Yang kedua ialah mengajar rakyat menjadi tidak bertanggungjawab. Lepas ni rakyat malaslah nak bayar hutang MARA atau segala hutang berkaitan dengan kerajaan. Sedangkan dalam Islam, hutang wajib dibayar," ujarnya lagi.
Tambah beliau lagi, kerajaan sudah cukup bertolak ansur dalam hal ini kerana menanggung sebahagian besar pembiayaan pendidikan.
No comments:
Post a Comment