KUBANG PASU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) mampu menawan semula Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) jika masalah cantas mencantas tidak lagi berlaku di kalangan pemimpin dan ahli parti itu.
Beliau berkata, ketua-ketua UMNO bahagian juga telah membuat ikrar di hadapannya untuk memastikan perbuatan itu yang terjadi pada Pilihan Raya Umum 2008 tidak berulang di bahagian masing - masing.
"Saya tekankan tentang perkara ini dan saya dapati masing-masing faham, saya rasa mungkin di Kedah semakin berkurangan masalah ini.
"Ketua-ketua UMNO bahagian juga buat pengakuan ikrar, kita pegang kepada ikrar, sekarang semua tahu bukan ketua UMNO sahaja, tetapi yang lain pun sedar sebab kalau dia cantas lalu dia naik maka orang lain akan cantas dia juga," katanya.
Dr. Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Majlis Perjumpaan Pemimpin-Pemimpin UMNO Kedah di Dewan Wawasan Jitra.
Beliau berkata, perbuatan cantas mencantas pada Pilihan Raya Umum 2008 antara faktor menyebabkan kebanyakan calon UMNO kalah walaupun ramai rakyat masih mahu BN mentadbir kerajaan negeri.
Menurutnya, masalah itu berpunca daripada perbuatan pemimpin tertentu yang mahu menjadi calon tetapi tidak dipilih sebagai calon pilihan raya.
Bagaimanapun, tambah beliau, UMNO Kedah sudah berusaha mengurangkan masalah itu dan ketika ini ketua-ketua UMNO bahagian juga sudah berjanji untuk menyokong siapapun yang akan dipilih menjadi calon BN walaupun calon 'payung terjun'.
"Saya tekankan yang penting bukan siapa jadi calon tetapi yang penting parti menang, kalau calon bukan orang UMNO pun kita sokong, sebab kita nak BN menang."Bagi saya, saya tak kira sama ada calon itu winnable atau tidak tetapi asalkan dia calon BN kita bagi dia menang," jelasnya.
Dr. Mahathir berkata, peluang BN untuk menawan semula Kedah pada PRU13 juga amat cerah kerana situasi kini berbeza dengan 2008 yang menyaksikan pengundi tidak mengundi BN disebabkan kecewa dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya jumpa orang seperti ini yang sakit hati kerana terpaksa undi parti lain sebab dia marah, tetapi sekarang zaman Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.Bagaimanapun, beliau berkata, parti-parti komponen BN didapati agak lemah dan mereka perlu dipulihkan serta dibantu oleh UMNO di peringkat bahagian.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir mengulangi nasihatnya agar pemimpin UMNO dan ahli-ahlinya tidak terlibat dengan perbuatan cantas mencantas dan berpecah belah bagi memastikan BN memenangi PRU13 di Kedah.
Menurutnya, ahli-ahli UMNO mesti bersatu kerana perjuangan UMNO ialah untuk memenangkan parti bagi membentuk kerajaan dan bukannya untuk kepentingan pemimpin tertentu.
"Kekalahan UMNO ibarat Melayu menjadi bangsa yang hilang kuasa di negara sendiri... kita tak boleh menjadi bangsa yang berpecah belah," jelasnya.
sumber
No comments:
Post a Comment