PULAU PINANG, 6 Julai – Pemerintahan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang kononnya telus dan memperjuangkan nasib rakyat kini dilihat terus mengamalkan sistem pentadbiran putar belit untuk menindas rakyat di negeri ini.
Terbaru, Kerajaan negeri DAP telah menghantar surat kepada penduduk Kampung Genting Balik Pulau yang menyatakan tanah penduduk di kampung tersebut akan diambil bagi memberi laluan kepada pembinaan universiti awam antarabangsa iaitu Asian Women Leadership University (AWLU).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad, jika sebelum ini Kampung Buah Pala telah lenyap dari negeri Pulau Pinang, kini nampaknya Kampung Genting juga akan merima nasib yang sama.
Cuma katanya yang berbeza adalah penduduk Kampung Buah Pala menerima rumah sebagai gantirugi tetapi penduduk Kampung Genting terpaksa mencari penempatan sendiri kerana tanah mereka bakal didirikan universiti.
“Sebenarnya, dahulu lagi kerajaan negeri DAP mahu mengambil tanah ini tetapi apabila dibantah keras oleh penduduk, perkara ini terus senyap. Kini, sekali lagi ianya berulang. Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP nampaknya bersungguh-sungguh mahu mengambil tanah ini seperti ada agenda yang tersembunyi.
“Menurut surat yang dikirimkan kepada penduduk, projek ini adalah projek Kerajaan Persekutuan dan Timbalan Perdana Menteri telah meluluskan pembinaan sebuah universiti awam Antarabangsa. Apa yang menjadi persoalannya adalah adakah Asian Women Leadership University (AWLU) ini di bawah universiti awam dan benarkah ianya projek Kerajaan Persekutuan?“Apa yang membimbangkan adalah sekiranya timbul sebarang masalah di kemudian hari nanti termasuklah isu pembayaran tanah yang tidak setimpal, mereka akan meletakkan segala kesalahan di atas pundak kerajaan Persekutuan.
Seperkara lagi, mengapa mereka tetap mahukan tanah ini sedangkan masih terdapat banyak tempat lain yang boleh dikenalpasti lebih sesuai. Tidakkah mereka memikirkan nasib penduduk di kampung ini nanti yang telah berpuluh tahun berkampung di sini,” ujarnya kepada UMNO-Online hari ini.
Tambah Farid, apa yang dapat dilihat sebenarnya ini adalah salah satu usaha DAP untuk memecah belahkan rakyat di negeri ini dan mencetus kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan.
Tegas beliau sudah pasti Kerajaan Persekutuan akan dipersalahkan di atas isu ini kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengatakan bahawa ini adalah projek Kerajaan Persekutuan.
“Pilihan Raya Umum (PRU) sudah semakin hampir dan ini berkemungkinan satu lagi strategi DAP untuk mencetus rasa benci rakyat terhadap Kerajaan Pusat. Apabila ini terjadi, sudah pasti banyak undi akan kembali kepada mereka,” jelasnya.
Sementara itu, semakan yang dibuatnya dengan Kementerian Pengajian Tinggi pula mendapati tiada sebarang kelulusan pernah diberikan untuk membina universiti itu kecuali Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dalam perancangan.
Difahamkan sebanyak 12 lot tanah milik orang Melayu dan Cina serta lima lot tanah kepunyaan syarikat swasta dengan keluasan keseluruhan kira-kira 64.2 hektar terlibat dengan projek untuk membina universiti awam antarabangsa iaitu Asian Women Leadership University (AWLU). – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment