GOMBAK TIMUR - Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam menolak permohonan representasi Beego dan dua rakannya bagi membatalkan tuduhan khalwat ke atas mereka dan menetapkan 19 Mac 2013 untuk perbicaraan kes tersebut.
Hakim Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh tersebut selepas peguam syarie, Mohd Fakhrul Azman Abu Hassan, yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon satu tarikh perbicaraan baru.
Fakhrul Azman berkata, pihaknya perlu mendapatkan beberapa dokumen berkaitan kes daripada pendakwaan sebelum bersedia untuk memulakan perbicaraan, termasuk laporan polis berhubung tangkapan tertuduh pada hari kejadian.
Terdahulu, pegawai pendakwa syarie Jabatan Agama Islam Malaysia (Jais), Tuan Sarawahidda Tuan Dir memaklumkan representasi tertuduh ditolak ketua pendakwa syarie dan mahu meneruskan perbicaraan semalam.
Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah, 32, dan dua rakannya, Fikry Zainun serta Mohd Arsli Meor Atan Ahmad, mengaku tidak bersalah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama Azlina Yazit@Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar kira-kira jam 6 pagi di sebuah rumah di Kondominium Okleaf Park, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, pada 23 Februari 2011.
Bagaimanapun, kedua-dua wanita tersebut mengaku bersalah dan didenda RM3,000 atau enam bulan penjara.- Sinar
No comments:
Post a Comment