KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan peguam Karpal Singh agar sepina dikeluarkan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung permohonannya untuk mengetepikan satu pertuduhan menghasut.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Azman Abdullah membenarkan sepina terhadap Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara Datuk Kamaluddin Md Said, yang dikeluarkan peguam itu pada 15 Mei.
Azman juga menolak notis usul Karpal supaya pertuduhan menghasut yang dikenakan terhadapnya digugurkan atas alasan Pejabat Peguam Negara bersikap berat sebelah dalam melaksanakan 'budi bicara untuk membuat pendakwaan' ketika mengenakan pertuduhan terhadapnya.
Berikutan keputusan mahkamah itu, Karpal perlu berada di kandang saksi pada 2 November untuk menghadapi tuduhan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan berkaitan Sultan Perak di pejabat guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur, antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari 2009.
Karpal, 71, dituduh mengeluarkan kata-kata bahawa tindakan Sultan Perak menyingkirkan Mohamad Nizar sebagai Menteri Besar Perak dan melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ke jawatan itu boleh dipersoalkan di mahkamah undang-undang.
Pada 11 Jun 2010, Karpal dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi pada akhir kes pihak pendakwa, tetapi diperintah membela diri berikutan rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Dalam penghakiman bertulisnya, Azman berkata Peguam Negara diberi kuasa mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan tuduhan atau tidak meneruskan sesuatu prosiding jenayah.
Katanya, Peguam Negara diberi kebenaran untuk mengambil kira kepentingan awam apabila membuat keputusan tentang tuduhan yang dikenakan terhadap seseorang tertuduh.
Azman juga berkata, mahkamah itu tidak terikat untuk membuat perbandingan antara kata-kata berbaur fitnah yang didakwa dituturkan Dr Mahathir pada perbahasan parlimen dan perkataan yang digunakan Karpal pada sidang akhbarnya.
Mengenai permohonan sepina itu, Azman berkata, selain Kamaluddin, tiga saksi (Dr Mahathir, Abu Talib dan Abdul Gani) bukan merupakan saksi relevan dan tidak terlibat dengan pertuduhan semasa yang dihadapi tertuduh.
Mengenai keputusan beliau membenarkan sepina terhadap Kamaluddin, Azman berkata: "Mahkamah ini bersetuju dengan hujah pemohon bahawa Kamaluddin adalah seorang saksi releven berdasarkan apa yang beliau maklumkan kepada Mahkamah Rayuan."
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memberitahu pemberita bahawa Kamaluddin akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan sepina yang dikeluarkan mahkamah terhadapnya.
Karpal pula berkata, beliau akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada Isnin. - Bernama
Video Tun Dr Mahathir Bersedia Berhadapan Dengan karpal Di Mahkamah
No comments:
Post a Comment