Majlis Syura Ulama PAS pernah diumpamakan sebagai Al-Quran buruk oleh Datuk Mohamed Daud Iraqi, salah seorang ahli Majlis tersebut sendiri. Sebuah Al-Quran buruk yang sudah kabur tulisannya tetap tidak mungkin dibuang, dan tetap akan diletakkan di tempat yang tinggi.
Namun, di mata DAP dan PKR, Majlis Syura Ulama PAS adalah umpama kain buruk sahaja yang digunakan untuk mengelap segala najis dan lumpur yang disepahkan oleh pemimpin PAS. Akibatnya, najis dan lumpur tidak lagi kelihatan tetapi kumannya masih terus bersarang dan merebak ke tempat lain yang dilap dengan kain buruk tersebut.
PAS juga nampaknya menerima sahaja kedudukan Majlis Syuranya sebagai sesuatu yang hidup tidak membawa makna, mati tidak boleh pula kerana ia menjadi tonggak kepada nama ‘Islam’ yang ada pada parti PAS. Tanpa Majlis Syura, Islam PAS hanya tinggal pada jubah dan serban semata-mata.
Bukan sahaja DAP dan PKR sahaja yang ‘mengabaikan’ Majlis Syura tetapi, Pengerusinya sendiri, iaitu Nik Aziz turut melihat Majlis Syura sebagai tidak lebih dari simbol semata-mata. Kerana itu, Nik Aziz dilaporkan membuat kenyataan di dalam akhbar The Star yang berkata bahawa pemecatan Nashruddin dari Majlis Syura bermakna pemecatan dari PAS. Atau dalam kata lain, Majlis Syura adalah kambing hitam penyamaran bagi mengelak penyokong-penyokong PAS mencurigai tindakan pemecatan tersebut.
Hakikatnya, Nik Aziz telah dengan terus terang mengabaikan Majlis Syura dan membuat keputusan berdasarkan emosinya sendiri atas kapasiti Pengerusi Majlis dan juga Mursyidul Am parti. Menurut Nik Aziz, talak telah pun jatuh oleh itu, Nasha dan PAS tidak lagi boleh dianggap ada hubungan.
Kita amat memahami sifat Nik Aziz yang merupakan seorang pendendam.
Dan lebih malang bagi Nasharuddin ialah apabila Hadi Awang pula seorang yang suka menghina orang lain. Memberi respon dalam isu ini, Hadi Awang telah menyifatkan Nasharuddin sebagai ahli biasa sahaja dan tidak ada signifikannya jika beliau mengiringi Perdana Menteri ke Gaza. Oleh itu, pemecatan Nashruddin dikatakan kerana beliau jarang menghadiri Majlis Syura dan bukan kerana bersama dengan PM di Gaza.
Namun, jika itulah alasannya, maka ramai lagi yang jarang menghadiri Majlis Syura malah hampir tidak pernah iaitu Datuk Mohamed Daud Iraqi dan Nik Aziz sendiri. Kenapa Nik Aziz tak pecat diri sendiri bagi menunjukkan kepimpinan Islam tulen yang adil lagi saksama?
Bukan itu sahaja, malah pemecatan Nasharuddin itu sendiri tidak menepati cara Islam. Pertuduhan telah dibuat tanpa kehadirannya, dan keputusan juga dibuat tanpa pengetahuannya serta hukuman pula dibuat tanpa memberinya peluang membela diri.
Sedangkan pembangkang merupakan pihak yang kuat menghentam Akta ISA atas alasan tidak memberi peluang tertuduh membela diri yang mana membelakangi cara Islam.
Justeru, apakah hukumnya bagi Majlis Syura untuk membelakangkan soal menghukum cara Islam? Siapakah pula yang berhak menghukum Majlis Syura?
Apapun, yang jelas di sini ialah kedudukan Majlis Syura yang tidak ada makna. Majlis Syura boleh membuat keputusan, tetapi ia tetap merupakan keputusan PAS sepertimana yang dijelaskan oleh Nik Aziz. Manakala, PAS pula boleh membuat keputusan atas apa saja, tetapi keputusan muktamad tetap berada di tangan DAP.
Maka, apa gunanya lagi Majlis Syura? Bukankah lebih baik ianya dibubar saja?
Majlis Syura bukan seperti Al-Quran buruk kerana Al-Quran buruk masih lagi punya nilai. Tetapi Majlis Syura lebih layak dianggap sebagai kain buruk, kerana langsung tidak bernilai, bukan sahaja di mata PKR dan DAP, tetapi juga di mata Nik Aziz sendiri.
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!