TANJUNG MALIM 6 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan terus dinikmati oleh rakyat selagi kerajaan Barisan Nasional (BN) terus mentadbir negara ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah bantuan RM500 sekarang yang diberikan kepada setiap ketua isi keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan juga mungkin akan ditambah sekiranya negara mempunyai pendapatan yang amat baik.
Kalau kita doakan BN menang lagi. BRIM 3, BR1M 4, BR1M 5, BR1M 6 dan selama-lamanya. Mungkin kalau kerajaan BN berkuasa lagi semula dengan pendapatan yang baik hasil pungutan cukai kita sampai RM125 bilion melimpah ruah dalam tabung Perdana Menteri, kalau kita minta naik pun, saya fikir boleh dipertimbangkan kalau tidak banyak pun dari RM500 ke RM1,000.
Kemungkinan ini tidak mustahil kerana siapa pernah menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberikan rakyat BR1M sebelum ini," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Rakyat 1Malaysia yang dihadiri lebih 10,000 orang di padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam.
Dalam ucapannya, Muhyiddin juga berkata, tiada sebab untuk rakyat menyokong pakatan pembangkang kerana kerajaan yang ada sekarang iaitu kerajaan BN telah melakukan pelbagai perkara untuk membela nasib rakyat dan menentukan negara terus maju serta membangun.
Beliau berkata, kerajaan BN bukan sekadar membela rakyat dengan kata-kata tetapi melaksanakannya melalui pelbagai inisiatif termasuk subsidi yang besar untuk barang keperluan, bantuan sara hidup dan kawalan harga barang serta menetapkan gaji minimum.
Katanya, tiada negara di dunia ini yang melakukan seperti apa yang dibuat oleh kerajaan BN bagi membela nasib rakyat negara ini.
Sebab itu, kalau semua sudah elok, sudah tersusun dan terancang. Ekonomi berkembang baik sedangkan banyak negara kaya lain sudah bankrap tetapi kita ada pertumbuhan lima peratus.
Kalau ekonomi sudah elok, perniagaan terus berjalan, tidak ada pergaduhan, rakyat berpendapatan baik dan tidak ada isu serta masalah besar, apa hal kita hendak menyokong pembangkang," katanya.-Utusan
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!