KOTA BHARU - Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri Datuk Takiyuddin Hassan memberi peringatan kepada beberapa orang pemimpin didalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) supaya tidak membuat kenyataan terburu-buru.
Peringatan itu diberikan ekoran kenyataan yang dibuat oleh DHPP berhubung tangkapan khalwat yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) terhadap dua pasangan bukan islam.
"Saya nasihatkan beberapa orang pemimpin DHPP, saya sebagai Penolong Setiausaha Agong PAS nak bagi ingatanlah kepada DHPP tu, bertindaklah sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS jangan sebaliknya, ni bukan menyokong dah ni"
Takiyuddin yang agak tertekan dengan isu yang melanda Kerajaan Negeri terutamanya melibatkan MPKB-BRI dan masyarakat bukan islam itu turut beberapa kali dilihat melepaskan kemarahannya kepada wartawan ketika sidang media yang berlangsung kelmarin.
Tekanan itu dipercayai datangnya dari Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sebelum ini turut menggesa kepimpinan PAS pusat campurtangan dan menyelesaikan segera kontroversi berhubung peraturan di Kelantan yang melarang pendandan rambut wanita memotong rambut pelanggan lelaki, dan bukannya menyerahkan perkara itu kepada Exco Kelantan semata-mata.
"Saya terkejut Kelantan telah memutuskan untuk memperluaskan peraturan tersebut ke atas bukan Islam, keputusan ini, pada fikiran saya, adalah tidak mengikut perlembagaan dan boleh dicabar di mahkamah, dan ia tidak boleh dikenakan kerana ia menyalahi undang-undang," kata Karpal.
"Majlis (tempatan) tidak harus mengumpul denda berdasarkan peraturan yang menyalahi undang-undang," katanya.
Karpal turut melabelkan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan negeri itu sebagai bentuk undang-undang yang paling rendah, walaupun ia dibuat oleh pihak exco dan mereka yang mentadbir kerajaan tempatan.
Seterusnya Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, sikap berdiam diri exco Kelantan dalam mengkaji semula peraturan mengenai pengasingan gender yang melarang wanita bukan Islam memotong rambut lelaki bukan Islam, dan sebaliknya di salon di Kota Bharu tidak menunjukkan kerajaan yang bertanggungjawab.
"Pemimpin-pemimpin Pas perlu sedar bahawa sikap membisu bukan jalan penyelesaian dan ia hanya memburukkan keadaan. Peraturan itu perlu dihapuskan dengan segera," katanya.
"Bagi beliau (Takiyuddin) peraturan itu bukan satu isu dan beliau berkata undang-undang itu dikuat kuasa sejak 1991 selaras dengan slogan kerajaan Pas Kelantan 'Membangun Bersama Islam' yang merangkumi orang Islam dan bukan Islam, dan pada 1999 syarat yang lebih ketat dikenakan oleh Majlis," katanya.
Dengan sekali sahaja gertakkan Karpal yang lantang itu akhirnya Kerajaan PAS Kelantan akur dan memutuskan untuk menangguhkan penguatkuasaan syarat-syarat pelesenan di bawah undang-undang kecil Majlis Perbandaran Kota Bahru-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang melibatkan kedai gunting rambut milik bukan Islam.
Bagaimanapun isu terbaru yang melibatkan tangkapan khalwat terhadap orang bukan Islam itu belum lagi diulas oleh Karpal, justeru, Takiyuddin perlu menyelesaikan perkara itu seberapa segera sebelum sekali lagi akan digertak oleh Karpal dan sekaligus akan menambahkan lagi tekanan kepada beliau dan Kerajaan Pas Kelantan selain daripada dilihat oleh umat Islam sebagai pemimpin dan kerajaan yang bacul. - Gelombang Kick
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!