Pembangkang dilihat semakin gagal untuk meyakinkan rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional.
Setiap hari ada sahaja kelemahan pembangkang didedahkan di dada-dada akhbar mahupun melalui internet.
Kegagalan Selangor menyediakan perancangan pengurusan air yang efektif di negeri menyebabkan negeri paling kaya di Malaysia bakal menghadapi krisis air yang teruk menjelang 2014.
Gambaran krisis yang akan menyebabkan merundumnya perkembangan pesat ekonomi yang telah dibina sejak merdeka di bawah pemerintahan BN bukanlkah sesuatu yang diada-adakan oleh kerajaan untuk menyerang pembangkang.
Ia adalah amat benar tetapi malangnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menghidapi sindrom penafian yang serius.
Walaupun kerajaan pusat merayu agar isu air tidak dipolitikkan dan kebajikan rakyat diutamakan, gesaan itu bagai mencurah air di daun keladi.
Begitu juga kegagalan kerajaan PAS di Kelantan menyediakan bekalan air yang bersih kepada rakyat negeri itu juga adalah satu realiti pahit yang terpaksa diterima.
Sejak 22 tahun lamanya PAS memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang itu, kebajikan rakyat yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu tidak dihiraukan.
Walaupun berdegar-degar mencanangkan slogan 'Membangun Bersama Islam' dan 'Negara Kebajikan' namun nilai-nilai tersebut tidak langsung menjadi agenda utama PAS yang menjadikan politik kepartian sebagai asas perjuangan mereka.
PAS hanya mahu mendapat kuasa politik semata-mata tetapi apabila rakyat memberi mereka amanah untuk memerintah, kacau bilau pentadbiran negeri dibuatnya dan akhirnya negeri menjadi mundur dan corot dari segi pencapaian negeri.
Lihat sahaja gelagat ahli-ahli parlimen pembangkang di sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.
Banyak masa dibuang oleh pembangkang berkelahi dan bertikam lidah dengan Speaker hanya atas perkara remeh temeh berhubung peraturan mesyuarat dan perkara-perkara enteng.
Pembangkang gagal mengangkat agenda yang lebih besar dan penting iaitu program pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Mereka membazirkan masa perbahasan untuk membuat tuduhan dan melontar pelbagai fitnah terhadap anggota dan pentadbiran kerajaan.
Setakat ini tidak ada apa-apa wadah yang di bawa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang boleh dibanggakan.
Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2013 pada 28 September lalu, Anwar pun terhegeh-hegeh memintas untuk membentang bajet alternatif.
Kononnya beliaulah bekas Menteri Kewangan terhebat yang mampu menjana pemikiran ekonomi yang paling innovatif.
Malangnya apabila dikupas dan analisa oleh pakar ekonomi dan kewangan jelas Anwar tidak faham langsung apa yang dibentangkan.
Kesimpulannya, negara akan bankrap di bawah pembangkang dan ekonomi akan menguncup jika bajet alternatif mereka dilaksanakan.
Pembangkang amat berbangga dengan Buku Jingga yang seolah-olah dianggap sebagai kitab suci yang menggariskan program serta dasar bakal dilaksanakan sekiranya mereka memerintah negara.
Bagaimanapun Buku Jingga tidak lebih daripada koleksi mimpi-mimpi PKR, PAS dan DAP yang tidak realistik seperti menghapuskan PTPTN, menghapuskan kutipan tol lebuhraya, pendidikan percuma, mengurangkan harga minyak dan sebagainya.
Tidak pernah didengar Buku Jingga mendapat pujian pakar ekonomi samada dalam negara atau peringkat antarabangsa.
Sebenarnya Buku Jingga adalah program syok sendiri pihak pembangkang yang tidak berdiri di bumi nyata.
Yang tidak boleh pembangkang nafikan adalah hakikat bahawa akhbar berpengaruh seperti Financial Times memberi pujian tinggi kepada Perdana Menteri kerana berjaya meneraju ekonomi Malaysia di saat dunia bergelut dengan pelbagi krisis kewangan.
Perkembangan ekonomi Malaysia yang sihat serta program transformasi ekonomi dan kerajaan yang jelas, tersusun serta membuahkan hasil yang memberangsangan telah mengejutkan pemerhati ekonomi luar.
Tidak pun didengar media Barat yang satu masa dahulu memuji Anwar sebagai tokoh kewangan yang hebat, memberi sanjungan yang sama apabila beliau membentang bajet alternatifnya.
Hakikatnya dunia luar memerhati prestasi pembangkang kerana jika air percuma di Selangor pun tidak mampu diberi kepada rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 2008, masakan janji pembangkang boleh dipercayai sekiranya mereka memerintah kerajaan pusat.
Memang semuanya nampak cantik dan mulus di atas kertas tetapi kenyataannya PKR, PAS dan DAP bertelagah sesama sendiri dari segi dasar perjuangan dan ideologi.
Dokumen persefahaman bersama yang ditangani ketiga-tiga pemimpin pembangkang pada 2009 tidak menyebut pelaksanaan hukum hudud yang menjadi nadi perjuangan PAS.
Tetapi di luar sana, PAS dan DAP terus berkelahi mengenai isu hukum hudud yang tetap ditolak oleh parti cauvinis Cina itu sementara PAS tidak berganjak daripada pendiriannya.
-Beruang Biru
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!