Kerajaan negeri Kedah diminta segera mengambil tindakan berhubung dakwaan pusat hiburan tumbuh macam cendawan lepas hujan di negeri ini terutama di bandar raya ini yang telah menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata banyak blog dan laman sosial Facebook yang mendedahkan tentang pusat-pusat hiburan itu dan itu jelas menunjukkan masyarakat tidak suka dengan kewujudan pusat hiburan itu.
Katanya ada diantara pendedahan berkenaan memaparkan persembahan daripada wanita dengan berpakaian seksi serta menunjukkan gambar golongan remaja Melayu mengunjungi tempat berkenaan.
Kerajaan negeri perlu menyiasat sama ada pusat hiburan itu berlesen atau tidak dan mengambil tindakan sewajarnya, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah di sini.
"Sebagai kerajaan (negeri), perlu ambil tindakan sebab rakyat dah mula bimbang dengan situasi pusat hiburan di Alor Setar. Perlu buat pemantauan di tempat-tempat itu bagi memastikan apa yang tersebar di blog dan Facebook betul atau tidak," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri boleh menubuhkan pasukan khas yang dianggotai pelbagai agensi bagi menjalankan pemeriksaan serta mengambil tindakan terhadap pusat hiburan yang melanggar syarat di tetapkan.
"Apa yang mahu kita lihat adalah tindakan kerajaan negeri, bukannya alasan," katanya.
Ahmad Bashah berkata melihat paparan dalam blog dan facebook beliau menjadi amat bimbang dengan perkembangan yang berlaku malahan ada di antara blog menyifatkan Alor Setar sudah menjadi ala Danok dengan sajian hiburannya.
"Saya tidak tahu apa yang kerajaan negeri fikirkan, tetapi pada saya apabila melihat gambar-gambar yang dipaparkan bloger saya menjadi takut, kecewa kerana ia berlaku di Kedah, berlaku di bawah pentadbiran kerajaan yang sering melaungkan memperjuangkan Islam," katanya.
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!