Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Sime Darby Bhd dijangka mengadakan pakatan strategik dalam bidang huluan industri minyak sawit di Afrika. Sumber industri berkata, sebagai permulaan, kedua-dua konglomerat perladangan tempatan itu akan menubuhkan syarikat usaha sama bagi membangunkan kemudahan lengkap tempat penyimpanan minyak sawit mentah (MSM) diproses dan terminalnya, sama ada di Liberia atau negara yang berdekatan.
Selain menjadi tempat simpanan MSM dan terminal untuk FGV dan Sime Darby, kemudahan itu juga akan memberikan perkhidmatan kepada syarikat perladangan lain di benua berkenaan.
Usaha sama itu bakal menjadi pakatan strategik pertama FGV selepas ia disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia 28 Jun lalu, sekali gus merealisasikan matlamat mengembangkan perniagaannya pada peringkat antarabangsa.
Sumber industri berkata, pembinaan kemudahan yang menepati piawaian undang-undang berkaitan perlindungan alam sekitar itu, bagi memudahkan eksport minyak sawit dari Liberia ke Afrika serta Eropah.
Permudah simpanan minyak
Beliau berkata, mempunyai kemudahan tangki simpanan sendiri yang terletak dalam kawasan pelabuhan memudahkan penyimpanan stok minyak sawit yang diproses dan aktiviti menyalurkannya ke kapal untuk tujuan eksport.
“Projek itu adalah permulaan baru FGV pada peringkat antarabangsa. Manfaatnya bakal membolehkan dua syarikat Malaysia itu memiliki lebih fleksibiliti menjual produk minyak sawit bergantung kepada permintaan pasaran,” katanya.
Ketika ini, kemudahan simpanan MSM yang diproses, termasuk terminal penghantarannya di Liberia atau negara berdekatan terhad dan kebanyakannya bersaiz kecil serta tidak sistematik.
Berikutan Sime Darby kini memiliki operasi huluan di Liberia, sementara FGV pula bakal meneroka pasaran negara Afrika, maka pembinaan kemudahan simpanan MSM yang diproses serta terminalnya dilihat sebagai keperluan kedua-dua syarikat Malaysia itu mengembangkan operasi mereka di benua itu.
Jumlah pelaburan, nisbah perkongsian ekuiti serta kapasiti simpanan MSM bagi projek itu masih belum dimuktamadkan lagi kerana masih pada peringkat awal.
Namun, katanya, di bawah kerjasama itu, FGV dijangka menggalas tanggungjawab sebagai kontraktor utama untuk membina kemudahan penyimpanan dan terminal MSM berkenaan.
“FGV dijangka tidak menghadapi masalah kerana kumpulan itu memiliki pengalaman dan kepakaran mengalas tanggungjawab berkenaan menerusi anak syarikat sekutunya di Johor, iaitu Felda-Johore Bulkers Sdn Bhd (FJB) yang kini memiliki dan menguruskan tempat penyimpanan minyak sayuran yang terbesar dan termoden di dunia,” katanya.
FJB yang kini memiliki 495 tangki penyimpanan minyak membabitkan kapasiti simpanan hampir 870,000 tan, bertanggungjawab menyediakan khidmat penyimpanan dan penyeliaan produk minyak sawit dan minyak sayuran lain dengan terjamin mutu kualitinya, sebelum di hantar ke destinasi lain di dalam dan luar negara. BH
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!