Sejarah awal negeri Kedah amat rumit sekali hendak diketahui orang. Kerana mengikut dari sumber-sumber yang boleh dipercayai seperti dari buku-buku Hikayat Merong Mahawangsa dan At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah bahawa negeri ini telah dibuka kira-kira seratus tahun sebelum dari Nabi Muhammad dilahirkan, iaitu kira-kira dalam tahun 470M, atau kira-kira seribu tahun terdahulu dari pembukaan kerajaan Melayu Melaka.
Ianya sezaman dengan tumbuhnya lain-lain kerajaan di benua Asia seperti Kerajaan P’an P’an, Hunan, Cenla dan Campa yang sekarang telah hilang namanya dalam sejarah dan berganti dengan nama-nama kerajaan yang baru pula.
Memandang masa yang begitu lama, tentulah ahli-ahli sejarah tidak dapat memberi keterangan lanjut dan tarikh yang tepat mengenai sejarah negeri itu.
Mengikut Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), penduduk asal negeri Kedah (Pulau Serai) ialah keturunan gergasi. Manakala raja pertama pula ialah Merong Mahawangsa sendiri yang berasal dari indera kayangan dan bersahabat baik dengan raja Rom. Ketika Merong Mahawangsa mengiringi Putera Raja Rom untuk berkahwin dengan Puteri China, angkatan mereka telah karam dibinasakan oleh burung geruda yang telah bersumpah sebelum itu dengan Nabi Allah Sulaiman a.s. untuk menggagalkan perkahwinan kedua anak raja itu.
Bila angkatan itu binasa, masing-masing membawa diri. Merong Mahawangsa berusaha untuk menyelamatkan Putera Raja Rom itu tetapi gagal. Akhirnya Merong Mahawangsa sampai di Pulau Serai (Kedah) dan dilantik menjadi raja kepada kaum gergasi yang mendiami pulau itu. Pulau Serai itulah dipercayai Gunung Jerai yang ada sekarang ini. Agaknya kawasan tanah rendah di persekitaran gunung itu belum lagi timbul dari aras laut. Dari keturunan Merong Mahawangsa inilah terus menerus memerintah negeri Kedah sampai sekarang ini.
Ada enam orang raja sebelum negeri Kedah menerima agama Islam. Mereka itu ialah Raja Merong Mahawangsa, Raja Ong Mahapudisat, Raja Seri Mahawangsa, Seri Maha Inderawangsa, Raja Ong Maha Perita Deria (Raja Bersiong), Raja Phra Ong Mahapodisat dan Raja Phra Ong Mahawangsa iaitu raja yang mula-mula menerima agama Islam dengan gelaran Sultan Mudzaffar Syah.
Menurut tawarikh Siam pula, susunan raja sebelum menerima agama Islam adalah seperti berikut; pertama – Phra Ong Mahawangsa, kedua – Phra Ong Mahapodisat, ketiga – Seri Mahawangsa, keempat – Sri Maha Inderawangsa, kelima – Phra Ong Maha Yatidahara, keenam – Phra Ong Mahapodisat dan ketujuh – Phra Ong Mahawangsa iaitu Sultan Mudzaffar Syah (sultan yang mula-mula menerima agama Islam).
Bagaimanapun, jika dibandingkan antara buku-buku tersebut nyatalah At-Tarikh Salasilah negeri Kedah lebih sesuai dijadikan rujukan sejarah. Ramai pengkaji-pengkaji sejarah Kedah yang merujuk buku tersebut kerana buku HMM dan Tawarikh Siam merupakan buku hikayat cuma yang lebih banyak mengaitkan dengan kisah-kisah dongeng dan tidak mempunyai faktor-faktor yang dapat dipegang oleh mereka terutama dari segi tarikh.
Buku HMM lebih sesuai dikatakan sebagai buku hikayat sahaja dan bukannya buku sejarah. Bagaimanapun buku tersebut digunakan juga untuk dibuat perbandingan terutama tentang nama-nama raja yang memerintah.
Dalam HMM, cuma ada tercatat tujuh orang raja sahaja yang memerintah negeri Kedah sebelum menerima Islam, begitu juga Tawarikh Siam, sementara di dalam buku At-Tarikh ada tercatat sembilan orang raja. Bagaimanapun, cuma ahli sejarah sahaja yang dapat memberi kenyataan yang sebenar.
Mengikut At-Tarikh karangan Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad bahawa penduduk awal negeri Kedah bermula dari pelarian penduduk tanah Jawa yang datang kira-kira seratus tahun sebelum keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. di Mekah. Pelarian itu bukan sahaja tertumpu khusus ke negeri Kedah saja, malahan bertaburan di sepanjang pantai semenanjung Malaysia yang ketika itu lebih terkenal dengan nama Tanah Segara Masin. Orang-orang pelarian itu dipanggil ‘Melayu’ bererti lari.
Perpindahan atau pelarian itu berlaku bukanlah bertujuan untuk mencari-cari tempat baru tetapi adalah bagi menyelamatkan nyawa setelah negeri mereka (tanah Jawa) diserang oleh bangsa Hindustan yang berbahasa Sanskrit dan beragama Hindu.
Di Kedah, tempat yang menjadi tumpuan ialah di persekitaran kaki Gunung Jerai, mungkin ketika itu pantai kerana waktu pelayaran masing-masing menjadikan puncak Gunung Jerai itu sebagai pedoman.
Hingga kini, lebih kurang satu setengah batu dari pekan Merbok di kaki Gunung Jerai masih terdapat satu tinggalan kuil purba atau candi-candi purba yang serupa dengan candi yang didapati di tanah Jawa. Inilah satu-satunya kesan purba yang didapati sebagai bukti nyata perpindahan penduduk beragama Hindu itu.
Penduduk Kedah (ketika itu terdapat nama-nama lain bagi negeri Kedah Tua seperti Kalah, Kalagam, Kalabar dan Langkasuka) tidak mempunyai raja atau ketua. Mereka cuma hidup sendiri-sendiri sahaja tetapi tetap aman dan damai. Kemudiannya, penduduk makin ramai dengan kedatangan orang-orang dari Pulau Serindit (Ceylon).
Kemudiannya, kedudukan mereka di persekitaran itu tidak aman lagi akibat serangan dari puak-puak dari utara negeri Kedah terutama dari daerah Ligor, Teneserim dan Pegu Burma.
Untuk menahan kemaraan serangan itu, mereka mula bersatu dan melantik ketua di antara mereka. Ketua satu digelar Tan Dermadewan sementara penolongnya digelar Tun Perkasa. Sejak itu, mereka berdualah yang menjadi ketua bagi penduduk di negeri Kedah.
Bagaimanapun, tidak pula dinyatakan tarikh yang tepat.
Ketika itu, kawasan Kedah termasuklah Kedah yang sekarang ini, Pulau Pinang dan Seberang Prai, Perlis, Pulau Langkawi dan beberapa tempat di kawasan negeri Thai selatan iaitu seperti Kuala Bara, Cik Baling, Ampe di dalam daerah Setul (Satun). Hampir semua kawasan itu meliputi kawasan tepi pantai.
Pemerintahan Kedah di bawah kekuasaan Tan Dermadewan dan Tun Perkasa itu tidak pula diketahui berapa lamanya. Mengikut buku itu yang dipetik dari satu sumber dalam tahun 630M, seorang raja dari tanah Gumarun yang lari akibat negerinya diserang oleh Maharaja Farsi telah dilantik menjadi raja Kedah yang pertama. Baginda dengan orang-orang besarnya lari dengan jalan laut ke timur. Mula-mula sampai ke Ceylon, Teluk Burma dan akhir sekali ke Kuala Sungai Khelah (Merbok).
Ketibaan raja itu telah disambut dengan hormatnya oleh Tan Dermadewan dan orang-orangnya. Kemudian di tabal menjadi raja dan bersemayam di Kota Langkasuka, sebuah kota yang diperbuat daripada tanah, mempunyai tiga pintu gerbang.
Dari pengalaman memerintah negerinya di tanah Farsi dahulu, Maharaja Derbar Raja telah melantik beberapa orang besar bagi membantu baginda memerintah. Baginda telah melantik menteri empat, lapan dan enam belas.
Alat-alat kebesaran yang dibawa dari Farsi seperti semambu (dinamakan Maha Guru), Negara (gendang kecil), dan nafiri telah dijadikan alat-alat kebesaran diraja. Ketiga-tiga benda itu disampul dengan kain kuning, ditambah pula dengan beberapa jenis alatan dari Jawa seperti gong, serunai dan beberapa buah gendang lagi. Kini, semua alat-alat itu dijadikan alat-alat Nobat DiRaja Kedah. Alatan-alatan itu tersimpan di Balai Nobat Alor Star, di hadapan masjid Sultan.
Selepas Maharaja Derbar Raja mangkat, iaitu raja pertama, ada delapan orang lagi memerintah Kedah sebelum negeri itu menerima agama Islam. Raja-raja itu adalah seperti berikut:
- Maharaja Diraja Putera – bersemayam di kota Langkasuka
- Maharaja Maha Dewa – bersemayam di Sidim, Kulim
- Seri Maharaja Karna Diraja – bersemayam di Kota Aur, Sik
- Seri Paduka Maharaja Kerma – bersemayam di Kota Aur, Sik
- Seri Paduka Mahraja Maha Dewa – bersemayam di Bukit Meriam
- Seri Paduka Maharaja Derma Raja – bersemayam di Bukit Meriam
- Seri Paduka Mahraja Maha Dewa II – bersemayam di Bukit Meriam
- Seri Paduka Mahraja Derbar Raja – bersemayam di Bukit Meriam
Begitulah susunan raja-raja Kedah sebelum Islam mengikut At-Tarikh itu. Tetapi malangnya, tidak pula diketahui bilakah tarikh-tarikh mereka memerintah. Bagaimanapun, dalam masa pemerintahan tersebut, banyak sudah peristiwa-peristiwa yang berlaku terutama tentang perpindahan tempat bersemayam.
Pada masa Maharaja Diraja Putera memerintah, walaupun baginda tetap bersemayam di kota Langkasuka, namun sempat lagi dalam masa bermain-main mengikut ulu sungai membina sebuah istana di Siong dalam daerah Baling sekarang ini.
Begitu juga tatkala Maharaja Maha Dewa memerintah, walaupun baginda bersemayam di Kota Bandar tetapi telah juga membuka tempat baru dan membina istana. Kali ini bertempat di Sidim dalam daerah Kulim. Baginda telah bersemayam di situ dan Kota Bandar diserahkan kepada adinda baginda yang bernama Maha Sura.
Pada masa Seri Maharaja Karna Diraja pula tidaklah ada tempat-tempat baru dibuka. Baginda lebih suka belayar di laut sambil melihat-lihat daerah-daerah di bawah jajahan takluknya. Dalam masa pelayaran itu, sempat pula baginda menyinggahi beberapa tempat seperti Pulau Langkawi dan Kuala Bara. Urusan pemerintahan ditinggalkan di bawah jagaan Menteri Empat.
Waktu pemerintahan Seri Paduka Maharaja Kerma, istana baru pula telah dibina di Bukit Meriam – jalan Pantai Merdeka. Di sini, lanjut juga usianya hingga beberapa keturunan. Agaknya, raja-raja ketika itu sentiasa mencari tempat yang istimewa untuk membangunkan istana yang tetap. Bagaimanapun, di Bukit Meriam ini cuma sempat hingga tujuh orang raja sahaja, iaitu sampai kepada Tunku Muzzil Syah atau Tunku Mathal Syah yang memerintah dari tahun 634H-679H.
Pada masa pemerintahan Paduka Maharaja Kerma, satu perubahan telah berlaku. Disebabkan kota Bukit Meriam terletak jauh dari Kuala Sungai Merbok – tempat pangkalan diraja dan menjadi susah berpangkalan di tepi pantai, maka Maharaja Kerma telah berpakat dengan orang-orang dan rakyatnya mengorek kuala baru. Maka itulah dibina Kuala Muda yang ada sekarang ini. Baca selanjutnya di Darulaman.my
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!