KUALA LUMPUR 12 Jun - Dewan Rakyat hari ini dikejutkan dengan pendedahan bekas peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Zulkifli Noordin iaitu beliau mengakui pernah diarah Ketua Pembangkang untuk mengada-adakan bukti dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurut Zulkifli, Anwar memberi arahan tersebut bagi memastikan kes Altantuya dapat dijadikan modal politik untuk mensabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) selepas menyedari kes tersebut tiada kaitan dengan Ahli Parlimen Pekan itu.
Katanya, selaku peguam bela Anwar pada ketika itu, beliau membuat pelbagai semakan undang-undang untuk mencari bukti bagi mengaitkan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan berkenaan, namun tiada sebarang petunjuk Najib terlibat, tetapi pembangkang cukup galak melempar fitnah.
"Tiada sebesar zarah pun bukti Perdana Menteri terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya dan apabila saya beritahu Anwar, dia marahkan saya. Anwar kata, kalau tiada bukti, kamu kena adakan bukti tersebut, tetapi sebagai peguam yang berprinsip saya tidak mengikut arahan berkenaan.
"Kalau ada bukti sudah lama saya gunakan untuk menyerang Perdana Menteri, tetapi hari ini isu pembelian kapal selam Scorpene ditimbulkan lagi. Apa tujuan mereka timbulkan isu ini, tujuannya tidak lain untuk kembali mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya yang terbukti fitnah.
"Saya peguam Anwar, saya lebih tahu. Mereka mendakwa kononnya ada surat akuan bersumpah yang mengaitkan Najib, semua itu bohong sebagaimana akuan sumpah palsu (diarah Anwar) dalam kes Mohd. Saiful Bukhari Azlan," katanya semasa sesi perbahasan.
Semalam, isu kapal selam Scorpene kembali ditimbulkan oleh Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dalam sidang Parlimen dan anak kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh itu sekali lagi cuba mengaitkan Perdana Menteri dalam 'skandal' tersebut, selain mendakwa Najib tidak berintegriti.
Dalam pada itu, Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu menempelak Gobind agar terlebih dahulu 'cermin diri sendiri' dengan melihat pendiriannya dan bapanya sebelum menuduh Perdana Menteri tidak berintegriti.
"Kalau beliau lupa, saya suka ingatkan kembali, pada tahun 1997 di dewan inilah Karpal mendedahkan bahawa beliau mempunyai bukti yang Permatang Pauh (Anwar) terlibat dalam aktiviti liwat dan menuntut tindakan tegas kerajaan, tetapi hari ini siapa peguam bela Anwar kalau bukan Karpal," katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!