KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat pendekatan PAS untuk berdiam diri berhubung isu hukum Hudud seolah-olah memberi laluan kepada DAP bersikap lebih berpengaruh di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat.
Katanya, PAS yang dahulunya tegas dengan pendirian memperjuangkan agenda Islam kini dilihat telah diperkudakan rakan sekutunya yang ingin mengejar cita-cita untuk memerintah negara.
"Dia (PAS) memang sudah jadi kuda tunggangan DAP pun. Sehingga dia sanggup membelakangkan agama dan hukum Hudud," katanya pada sidang media selepas dilantik sebagai Ikon Membaca Kebangsaan di Perpustakaan Negara Malaysia di sini, petang tadi.
Mantan Perdana Menteri yang diminta mengulas tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melarang kepimpinannya memberi komen bersabit isu Hudud menyifatkan ianya sebagai tindakan yang salah.
"Kalau Hadi tutup mulut, Karpal buka, Karpal menanglah," kata beliau lagi.
Hadi yang ditemui pada sidang media semalam enggan mengulas lanjut kontroversi berhubung isu Hudud yang menjadi subjek pertikaman lidah dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Beliau kemudian hari ini mengajak kesemua parti dalam Pakatan Rakyat memberi tumpuan kepada manifesto yang dipersetujui gabungan itu sekaligus mengenepikan percanggahan pendapat bersabit undang-undang Islam.
Dalam pada itu Mahathir menjangkakan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri Ogos nanti.
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!