Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula pada paras RM800 atau RM3.85 sejam.
Perdana Menteri berkata, gaji minimum itu akan meliputi semua pekerja termasuk pekerja asing dalam semua sektor ekonomi, kecuali perkhidmatan domestik seperti pembantu rumah dan tukang kebun. Sambil menyifatkan persetujuan kerajaan itu sebagai hadiah istimewa kepada golongan pekerja di negara ini sempena sambutan Hari Pekerja esok, kata Najib, pengumuman itu akan berkuat kuasa enam bulan dari tarikh perintah gaji minimum diwartakan.
Beliau berkata, satu mekanisme juga akan disediakan supaya pelaksanaan gaji minimum tidak membebankan majikan dan merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.
''Dalam usaha menangani isu gaji rendah dan kos sara hidup yang meningkat bagi pekerja sektor swasta, kerajaan pada prinsipnya bersetuju agar gaji minimum peringkat kebangsaan dilaksanakan.
''Langkah ini amat bertepatan sekali, memandangkan kerajaan juga telah meningkatkan gaji sektor awam antara 7 hingga 13 peratus seperti yang telah saya umumkan baru-baru ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta sempena sambutan Hari Pekerja 2012 di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan. Menurut Perdana Menteri, kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada paras antara RM1,200 hingga RM1,500.
Namun katanya, untuk permulaan sebagaimana syor Majlis Perundingan Gaji Negara dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi. Sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 (gaji pokok), jelas beliau kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing.
''Sekiranya perkara ini berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan.
''Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, kerana ini akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan nasional,'' katanya.
Dalam ucapannya itu Perdana Menteri turut menarik perhatian mengenai penetapan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak serta Labuan. Katanya, beliau sedar perbezaan tersebut akan mendedahkan kerajaan kepada tohmahan menganaktirikan pekerja di negeri dan wilayah tersebut, sedangkan ia terpaksa dilakukan kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara.
''Namun begitu, untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, kerajaan berharap dapat mewujudkan satu kadar gaji minimum untuk seluruh negara.
''Kadar gaji minimum yang ditetapkan itu tidak akan kekal statik dan ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa sejajar dengan kemampuan, produktiviti dan daya saing negara," katanya.
Najib menjelaskan, untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil atau micro enterprises membuat persediaan sepenuhnya agar peniagaan mereka tidak terjejas, tempoh kuat kuasa bagi kategori ini ialah 12 bulan daripada tarikh perintah gaji minimum diwartakan. Bagaimanapun beliau menambah, ia tidak meliputi firma profesional seperti klinik pergigian dan perubatan, firma guaman, firma arkitek dan firma juru perunding. Kata Perdana Menteri, walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima orang atau kurang, mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa enam bulan.
''Pemberian tempoh masa yang mencukupi itu supaya majikan dapat membuat persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan operasi perniagaan masing-masing,'' ujarnya. Katanya, kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan. - Utusan
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!