Biar pun sudah didedahkan tentang pencemaran air di Lata Chelak yang telah menjadi keruh bagaikan “air teh ais” di Kupang, Baling, baru-baru ini, tiada tindakan pemantauan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan PAS Negeri Kedah terhadap isu itu.
Menurut tinjauan kami di kawasan terjejas baru-baru ini, air terjun di Lata Chelak masih lagi keruh dan aktiviti pembalakan masih lagi aktif dijalankan walaupun dalam secara minimum.
Selain itu, keadaan bertambah teruk di mana beberapa kawasan di situ dikatakan mengalami tanah runtuh akibat kesan hakisan yang terhasil kerana hujan lebat di kawasan terbabit.
Para penduduk yang ditemui turut menyatakan kebimbangan mereka dengan keadaan ini di mana sekiranya tiada sebarang tindakan dari pihak berwajib, dikhuatiri keadaan di Lata Chelak itu tidak akan dapat diselamatkan lagi.
Mereka turut kesal sekiranya alam semula jadi dan eko-sistem di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas itu akan terjejas terus dan tidak dapat diwarisi kepada generasi akan datang di masa hadapan.
Kawasan tadahan air itu dikatakan adalah di antara kawasan tidak ternilai yang masih dimiliki oleh rakyat negeri Kedah, khususnya bagi penduduk di kawasan Baling dan mereka menuntut agar ia diperlihara sewajarnya dari sebarang kerakusan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Rakyat yang tinggal di kawasan kampung di sekitar Gunung Inas seperti Kampung Bokbak, Kampung Iboi dan beberapa kampung lain juga bimbang sekiranya hasil hutan yang sedikit sebanyak memberikan pulangan pendapatan kepada mereka itu akan hilang begitu saja.
Justeru itu, mereka merayu agar mana-mana pihak yang cintakan alam semula jadi dan tanahair agar bersama-sama mereka untuk sama-sama menentang ketamakan pihak Kerajaan PAS Negeri Kedah yang menjana keuntungan berpuluh juta setahun tanpa menghiraukan nasib rakyatnya.
Menurut mereka, apalah gunanya jika Kerajaan PAS Negeri Kedah mendabik dada memberitahu kejayaan mereka meraih hasil balak berpuluh-puluh juta setahun sedangkan bumi rakyat tergadai dan mencemarkan alam semula jadi di kawasan mereka.
Padahal, mereka tidak sedikit pun merasa hasil puluhan juta ringgit yang dihasilkan dari kekayaan alam semula jadi yang “dirompak” secara rakus dari rakyat oleh “tangan-tangan” yang hanya mementingkan keuntungan berganda. - Kedahan69ers.com
No comments:
Post a Comment
Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!