Saturday, October 29, 2011

Jalan Langgar Di Landa Ribut!!



LANGGAR - “Saya memang panik ketika itu, tambahan pula terpaksa berdepan dengan kesukaran sewaktu menyelamatkan anak dan isteri apabila pintu hadapan tidak boleh dibuka kerana dihalang oleh kayu di luar rumah,” luah Shahabudin Jaafar, 41, mangsa kejadian ribut yang melanda Batu Tiga, Jalan Langgar kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang ini, sebanyak 10 rumah dan dua kedai termasuk kedai menjual kereta terpakai rosak teruk akibat dilanda ribut.

Shahabudin berkata, kejadian pertama kali berlaku di kawasan rumahnya yang terletak di Lorong Peladang itu menyebabkan dia berasa panik dan hanya memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan nyawa isteri, Siti Aishah Abdullah, 40, dan anaknya, Hurul Ain, 4.

Menurutnya, sewaktu menyedari kejadian itu berlaku, dia segera melaungkan takbir beberapa kali sebelum menyelamatkan Hurul Ain yang ketika itu sedang menonton televisyen.

“Saya segera membawa mereka keluar ikut pintu belakang dan bersyukur kerana sempat menyelamatkan mereka,” katanya.

Shahabudin berkata, dia masih belum dapat menganggarkan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung akibat daripada kejadian ribut yang berlaku.

Bagi pemilik kedai kereta terpakai, Yusniza Ahmad, 38, berkata, sewaktu kejadian ribut berlaku, dia berada di rumahnya yang terletak di Jalan Gangsa kerana kedainya tidak beroperasi sempena perayaan Deepavali.

Katanya, kedainya itu telah beroperasi sejak dua tahun namun ini merupakan kejadian pertama yang berlaku.

“Saya mengetahui kejadian ini setelah dihubungi pemilik kedai perabot yang terletak bersebelahan kedai saya kira-kira jam 4 petang.

“Sebanyak tujuh kereta yang dipamerkan di kedai saya rosak, ada di antara kereta yang remuk namun saya belum pasti berapa jumlah kerugian kesemuanya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Shukri Ibrahim, 51, berkata, angin kuat seolah-olah puting beliung itu mengejutkannya sewaktu dia sedang berada di luar kawasan rumah.

Menurutnya, kejadian yang berlaku begitu pantas menyebabkan bumbung rumah di kawasan itu diterbangkan angin ribut.

“Saya dan anak sempat menyelamatkan diri dengan segera keluar rumah namun saya bersyukur tiada kecederaan teruk berlaku hanya kecederaan ringan sahaja,” katanya.

1 comment:

  1. Kalau lah la ni BN memerintah Kedah hampa tau apa depa akan kata. Inilah hukum dan bala Allah kerana tak laksana hukum Allah. Tapi malangnya, oleh kerana mereka perintah Kedah sekarang, maka mereka akan kata inilah bala kerana masyarakat dan tak laksana Islam. Kerajaan depa dah tak salah dah. Depa dok tang mana pun tetap betui dan tak salah. Apapun yang jadi tetap orang lain yang salah. Inilah akhir zaman. Subhanallah.

    ReplyDelete

Komen dengan mengunakan akal bukan dengan lutut!